Sunday, November 13, 2005

KEWAFATAN RASULULLAH S.A.W.

Rasulullah s.a.w. wafat setelah Baginda mengetahui ajalnya telah hampir melalui jalan wahyu. Baginda mengucap selamat tinggal kepada orang ramai pada Hajjatul Wada’. Hati para sahabat berdebar-debar, gelisah dan bimbang sekiranya ajal Baginda telah hampir. Namun apabila ajal yang ditetapkan oleh Allah datang, ia tidak dapat ditangguhkan. Apabila berita kewafatan Rasul s.a.w. tersebar, semua para sahabat menjadi kacau bilau kerana tragedi yang dahsyat itu. Madinah bergegar hebat. Ramai para sahabat yang besar dan mereka yang terdahulu memeluk Islam hilang kewarasan akalnya. Ada di kalangan mereka yang lidahnya kelu. Ada yang jatuh lumpuh tak berdaya bergerak. Ada pula (iaitu Umar) yang menghunus pedangnya seraya melarang orang ramai mengatakan Rasulullah s.a.w. telah wafat. Beliau mendakwa Baginda sekadar koma dan akan kembali semula kepada mereka. Hanya Abu Bakar seorang sahaja yang masih teguh jiwanya. Beliau masuk menziarahi Rasulullah s.a.w. sedang Baginda kaku dikelubungi (selimut) di atas katilnya. Beliau lantas mengucupi Baginda seraya berkata: "Aku tebus kamu dengan bapa dan ibuku, wahai Rasulullah! Alangkah eloknya kamu ketika hidup mahupun mati! Kematian yang Allah suratkan kepadamu telah kamu rasai. Kamu tidak akan ditimpa kematian lagi selepas ini untuk selama-lamanya. Wahai Rasulullah s.a.w., ingatilah kami di sisi Tuhanmu." Kemudian Abu Bakar keluar menemui orang ramai. Beliau berucap kepada mereka seraya berkata: "Wahai manusia! Sesiapa yang menyembah Muhammad s.a.w., Muhammad s.a.w. telah mati. Sesiapa yang menyembah A1lah, sesungguhnya Allah Maha Hidup dan tidak mati." Kemudian dia membacakan firman Allah:




“Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudah pun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian.,kalau dia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan, (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka dia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).” (Ali Imran: 144)


Apabila Abu Bakar membaca ayat al-Quran tersebut, mereka tersedar daripada kejutan yang dahsyat itu. Mereka seolah-olah tidak pernah mendengar ayat tersebut sebelum itu. Kata Abu Hurairah: Umar berkata: “Demi Allah, tidak terlintas firman Allah yang demikian melainkan apabila aku mendengar Abu Bakar membacanya. Lantas aku terkejut dan kebingungan sehingga aku terduduk ke bumi kerana kedua kaki ku tidak berdaya menanggungku. Ketika itu aku tahu bahawa Rasululiah s.a.w telah mati.”


Pengajaran


Terdapat dua pengajaran yang cukup mendalam di sini:

Pertama: Para sahabat terkejut dengan kematian Rasulullah s.a.w. hingga seolah-olah kematian tidak mungkin berlaku kepada Baginda. Padahal kematian itu penghujung kepada setiap kehidupan. Fenomena ini berlaku kerana mereka amat mencintai Rasulullah s.a.w.. Cinta mereka itu menyerap ke dalam darah dan urat saraf mereka. Kehebatan kejutan kerana kehilangan kekasih adalah mengikut kadar kecintaan tersebut. Kita lihat orang yang kehilangan anak atau bapa, masih tidak mempercayai dia telah kehilangannya berhari-hari lamanya. Apakah cinta di dunia ini yang mencapai kehebatan cinta para sahabat yang baik ini kepada Rasulullah s.a.w.? Allah telah memberi petunjuk kepada mereka melalui Baginda. Baginda juga telah menyelamatkan mereka daripada kegelapan kesesatan kepada cahaya kebenaran, mengubah kehidupan mereka, membuka pemikiran dan pandangan mereka, serta mengangkat mereka ke tahap tokoh pemimpin yang agung. Selanjutnya lagi, Bagindajuga berperanan sebagai pendidik, hakim dan pemberi panduan kepada mereka. Mereka merujuk kepadanya ketika malapetaka, meminta panduan ketika berhadapan dengan peristiwa-peristiwa dan mengambil firman Allah untuk mereka melalui Baginda. Mereka juga mengambil hadis-hadis dan pengajaran Baginda untuk mereka. Apabila Rasulullah s.a.w. wafat, semua ini telah terputus. Kejutan apakah lagi yang lebih hebat dan dahsyat daripada kejutan ini?

Kedua: Pendirian Abu Bakar menunjukkan beliau seorang yang memiliki jiwa yang teguh dan bersemangat waja ketika berhadapan dengan malapetaka. Kriteria ini tidak dimiliki oleh sahabat lain. Ini menjadikan beliau orang yang paling layak untuk menggantikan Rasulullah s.a.w.. sifat ini juga terbukti ketika beliau menangani gerakan murtad di semenanjung tanah Arab.


No comments: